Bukan main hebat lagi promosi drama-drama dan filem Melayu sekarang. Tak cukup di televisyen dan akhbar, papan iklan gergasi pun menjadi ‘sasaran’. Hmm, perkembangan sihat agaknya industri filem di Malaysia ni.
Di sini (Malaysia), atau mungkin di mana-mana saja dalam dunia ni, industri ni sama ada drama tv atau filem tak ketinggalan ikut ‘trend‘ semasa. Kalau musim tema cinta, semua penerbit akan menerbitkan cerita cinta sehingga ramai penerbit dan penggiat filem yang dah jadi jutawan dengan filem-filem mereka walaupun ceritanya ‘ntah hapa hapa ntah‘. Bila tiba musim tema seram pulak, semua buat cerita hantu hinggakan ada di kalangan penerbit filem yang dah sinonim dengan cerita-cerita cintapun buat cerita hantu jugak, nak memenuhi kehendak pasaran katanya. Asalkan tak memesongkan akidah masyarakat, lebih-lebih lagi pelakon dan pengarah itu sendiri, kira ok la tu. Janganlah hendaknya ada unsur-unsur penghinaan kepada sesiapa terutama agama Islam yang suci.
Sedari dulu lagi jika diperhatikan, cerita-cerita komedi adalah antara yang paling banyak mengandungi unsur-unsur penghinaan walaupun tidak secara langsung. Sebagai contoh, rasanya ramai yang masih ingat dengan cerita Ali Setan lakonan Azmil Mustafa dan Fauziah Ahmad Daud. Bukan nak kupas jalan cerita, melihatkan tajuknya sahajapun pasti ramai yang rasa terhina. Bagi mereka yang bernama Ali ada kemungkinan mereka akan diejek dengan gelaran setan, bersempena dengan tajuk filem tersebut iaitu nama satu watak yang digabungkan dengan perkara yang jelek, “Ali” dan “Setan”.
Amat malang, nama-nama watak yang digabungkan dengan perkara-perkara yang jelek ini adalah nama-nama yang mulia sebenarnya. Nama-nama yang mempunyai sejarah yang amat gemilang di dalam dunia Islam.
Ali adalah nama seorang sahabat dan ahli keluarga Rasulullah SAW. Halimah pula digabungkan dengan Jongang. Siapa yang tidak kenal individu yang bernama Halimah dalam sejarah Islam? Ibu susuan Rasulullah SAW yang sangat baginda hormati. Terbaru, Fatimah Juling. Fatimah, nama puteri kesayangan Rasulullah SAW dan juga isteri kepada Saiyidina Ali k.w. Mereka adalah nama-nama besar yang amat berjasa di dalam Islam sehingga nikmat iman dan Islam itu dapat kita nikmatinya sehingga kini. Tergamak orang-orang filem dan drama ini menggabungkan nama-nama mereka yang bejasa ini dengan perkara-perkara yang jelek semata-mata untuk berhibur dan mengaut keuntungan dunia. Kalau iye pun nak berhibur, kenapa tidak nama yang digabungkan dengan perkara jelek itu dipilih dari nama-nama lain seperti Joe Setan ke, Elina Jongang atau Melati Juling? Mengapa mesti nama-nama mereka yang dikasihi oleh Allah dan RasulNya?
Lihat sahaja gambar di atas, nama “Suraya” digabungkan dengan “Ayu”; sesuatu yang digambarkan amat indah, serba serbi indah. Manakala di sebelahnya “Fatimah Juling”!? Mungkin pada pandangan sesetengah orang, nama-nama ini lucu, kekampungan dan sebagainya. Dan isu nama ini bukanlah suatu isu yang besar untuk dibicarakan. Mereka mungkin melakukannya tanpa sebarang niat menghina sesiapa, NAMUN hakikatnya telah ramai yang terluka. Lebih bahaya jika perkara ini melukakan perasaan Rasulullah SAW, kekasih Allah SWT.
Mungkin telah tiba masanya satu garis panduan khusus dalam perkara ini ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Bagi mereka yang terlibat, peluang untuk kembali ke jalan yang lurus masih terbuka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.
