Faraidh: Tidakkah Terfikir

Kalau nak adil eloklah dibahagi sama rata“, “Kalau kamu kesian pada adik kamu yang perempuan tu, lepas faraidh nanti kamu bagilah dia sikit lagi sebab dia dapat sikit sangat..“. Itulah antara ungkapan yang sering kita dengar apabila para waris berbicara tentang pembahagian harta pusaka atau harta tinggalan si mati.

Sedar atau tidak hukum pembahagian harta pusaka adalah antara hukum yang disebut secara terperinci di dalam Al-Quran, bahagian yang diterima oleh setiap waris dinyatakan satu persatu. Rujuk Al-Quran; Surah An-Nisa’; Ayat 11, 12 dan 176. Sangat jelas. Oleh kerana hukum tersebut berdasarkan dalil qat’ie, maka ianya wajib dilaksanakan oleh yang berkenaan, sama seperti wajibnya melaksanakan solat, puasa, zakat, haji, hudud dan sebagainya. Kegagalan melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dengan sengaja dan tanpa alasan yang syar’ie bermakna telah ingkar dan boleh membawa kepada kekufuran.. Na’uzubillahi min zalik.

hadisFaraidMafhum

Mafhum al-Hadis riwayat al-Hakim, al-Baihaqi daripada Abi Hurairah

Ungkapan dan ucapan seperti di atas digambarkan oleh pelakunya seolah-olah hukum faraidh ini zalim dan tidak adil pembahagiannya antara lelaki dan perempuan. Tidakkah kita terfikir bahawa hukum ini dari Allah, Tuhan Sekalian Alam yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu? Justeru, bagaimana ada di antara kita yang tergamak mempertikainya? Sama halnya seperti mereka yang memperikai hudud.. Mungkin teralpa atau tidak sedar. Maka, setelah datang peringatan seharusnya kita lebih berhati-hati dan berfikir dalam setiap pertuturan dan perbuatan.

Dongeng Manusia Aneh

Pelik juga bila mendengar tingkah segolongan manusia yang tak suka diperlakukan oleh pihak lain terhadap mereka, tapi dengan selamba mereka memperlakukan perkara yang sama kepada orang lain.

Al-Kisah bermula dongeng dahulu kala,

Mereka bersabar ketika ditohmah oleh pihak musuh. Puak pelampau sekular melabel mereka sebagai orang kampung yang kolot, tak pandai mentadbir, pak lebai, ulama’ terompah dan sebagainya. Mereka terus bersabar dan akhirnya mereka buktikan tohmahan puak-puak tersebut nyata meleset. Makmur akhirnya golongan yang bersabar itu dengan kepelbagaian latar belakang mereka yang memimpin. Bukan hanya ‘pak lebai’, bukan hanya ‘ulama’ terompah’.

Ujian Allah dalam pelbagai cara, terkadang tidak dijangka bentuk dan rupa ujian tersebut. Setelah kemakmuran dikecapi rupanya ada yang beranggapan kemakmuran tersebut adalah ‘berkat’ hasil kecekapan golongan bukan ‘pak lebai’ yang dianggap profesional. ‘Pak lebai’ hanya layak berdoa dan solat hajat sahaja, tak layak campur urusan pentadbiran. Kecenderungan mereka untuk mentadbir dipertikai. Pentadbiran hanya untuk profesional (konon). Sungguh aneh apabila ‘pak lebai’ dipertikai lagi. Bezanya, kali ini mereka bukan dipertikai oleh pihak musuh atau pelampau sekular, tapi di kalangan mereka sendiri! Sungguh ANEH! Benarlah manusia mudah lupa. Tapi, apalah yang nak dihairankan, namapun dongeng.

Emoticons - Tutt'Art@ (2)

Muhasabahlah teman-teman. Muhasabah dalam erti kata sebenar. Moga dongeng ini tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.

Agar Tidak Buta…

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Telah sempurna apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW berkaitan syariat Islam. Tiada satupun yang terkecuali. Dan, rasanya kebanyakan dari kita umat Islam yang hidup di zaman ledakan maklumat ini telah menerima terlalu banyak sekali maklumat tentang syariat Islam berkenaan. Namun berapa ramai di antara kita yang mampu melaksanakan segala tuntutan dan meninggalkan segala larangan yang telah dikenalpasti itu?

Kesibukan menjalani kehidupan seharian seringkali melalaikan kita dari memikirkan tentang kehidupan yang kekal abdi, iaitu akhirat. Memikirkan bermaksud disertakan dengan praktikalnya.

Sekiranya syariat menetapkan sesuatu, maka sesuatu itu pasti wajib dituruti sama ada perintah atau larangan. Kegagalan mematuhinya bererti kita telah melakukan kesalahan. Kesalahan ini adalah dosa. Berapa berat atau besarnya dosa ini bergantung kepada kapasiti hukum yang dilanggar tersebut. Sengaja atau tidak, rela atau terpaksa, sedar atau tidak. Sila rujuk teks pengajian Fiqh atau Usul Fiqh kerana tulisan ini bukan untuk membahaskan secara terperinci ilmu tersebut.

Sekiranya kita tergolong di kalangan mereka yang memandang ringan setiap perintah dan larang, maka kita terlalu bimbang amaran Allah SWT di dalam Al-Quran, surah Toha, ayat 124 – 127 berikut :

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

surah Toha 124-127 copy

Kita tahu, tapi kita abaikan. Kita masih terus menerus melalukannya. Masih sayang atau susah untuk meninggalkan sesuatu larangan atau melakukan sesuatu perintah itu. Apakah kita tidak tergolong dalam golongan yang dimaksudkan dalam ayat di atas? Masihkah kita sangka masa itu terlalu jauh lagi? Sedangkan kematian akan datang dalam masa terdekat tanpa kita sangka-sangka.. Apabila sampai waktu itu maka tiada alasan lagi untuk kita kemukakann di hadapan Qadhi Rabbul Jalil di atas kealpaan kita, na’uzubillah.

Syukur kita masih punya waktu untuk memohon dan berdoa kepada Allah SWT agar kita tidak dibutakan di akhirat kelak. Sesungguhnya DIA Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu. Masih belum terlewat untuk kita memohon keampunan dariNya seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dalam dalam pautan video di bawah. Saksikan, mudah-mudahan membantu.

http://www.youtube.com/watch?v=nU-a-ExmTJg

Kesinambungan Pengajian: Adilkah Sistem Pendidikan Kita?

Dapat sahaja keputusan peperiksaan tahun enam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ibubapa dan penjaga pelajar terlibat mula sibuk dengan urusan mendaftarkan anak-anak mereka ke sekolah menengah. Bagi anak-anak yang berkelulusan ala kadar, ibubapa biasanya tidaklah bersusah payah nak memohon tempat untuk anak mereka ke sekolah berasrama penuh kerana bagi mereka semua sekolah sama sahaja. Namun tak kurang juga ibubapa yang berpandangan alangkah baiknya jika anak-anak mereka ditempatkan di sekolah-sekolah aliran agama sama ada sekolah kerajaan atau swasta seperti sekolah pondok atau madrasah.

Mengambil kira situasi dan taraf ekonomi kebanyakan masyarakat Malaysia dewasa ini, para ibubapa cenderung untuk menempatkan anak-anak mereka di sekolah-sekolah agama kerajaan kerana sekolah-sekolah kategori ini bayarannya adalah paling minima jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah swasta.

Bertemu seorang sahabat di utara tanahair, beliau merungut dengan sistem yang diamalkan kini berkenaan dengan kemasukan anak-anak ke sekolah menengah agama kerajaan. Berdasarkan keputusan UPSR, dia gembira kerana anaknya layak untuk memohon dan akan diterima masuk jika berjaya melepasi ujian khas yang ditetapkan. “Anak saya gagal mendapat tempat di sekolah menengah agama tersebut kerana gagal ujian..“, katanya dengan nada kecewa. Menurutnya, anaknya itu gagal kerana dia memang kurang pengajian agama. Anaknya tidak bersekolah rendah agama. Beliau menyesali situasi itu. Lantas beliau berazam untuk mengubah keadaan itu dan sangat berharap anaknya diterima di sekolah menengah agama. Tapi apakan daya, pengajian agama untuk orang yang pandai agama sahaja. Mereka yang dah terlewat untuk belajar agama dibiarkan terus jahil! Akhirnya, akan wujud dua golong yang berbeza dengan sangat ketara. Kasta dalam masyarakat. Antara dua darjat. Golongan kaya dan miskin. Jahil dan berilmu. Ohh.. “Tempat ke sekolah menengah agama amat terhad, tak cukup tempat“, kata pihak yang bertanggungjawab. Kalau tak cukup tempat kamu cukupkanlah tempat itu, kerajaan banyak duit. Kalau kamu mampu cukupkan tempat untuk membina pusat serenti kenapa kamu tidak mahu cukupkan tempat untuk anak-anak belajar agama?! Kalau kamu mampu bayar artis K-POP berjuta ringgit, kenapa kamu tak mampu wujudkan tempat untuk anak-anak ini berjaya dunia dan akhirat? Mujur ada sekolah pondok. Inilah negaraku tercinta. Negara Islam contoh!

kecewa

Memang itulah realiti sistem pendidikan di sini yang telah diamalkan sejak dari merdeka lagi. Mereka yang tidak cemerlang dalam peperiksaan akan ditinggalkan untuk meneruskan kehidupan mereka dengan cara yang lain, dengan cara mereka sendiri. Jika jalan mereka betul, maka berjayalah mereka. Jika sebaliknya, mereka akan dianggap sebagai manusia yang gagal.

Mengapa tidak diwujudkan sistem yang mampu mendidik anak-anak yang kurang cemerlang dalam semua peringkat peperiksaan ini secara intensif dan berkapasiti tumpuan penuh agar mereka tidak terpinggir dari arus pembangunan minda yang kian pesat kini. Bidang kemahiran sudah tentulah. Untuk cemerlang dalam bidang kemahiran juga, seseorang itu harus mempunyai minda yang cerdas, justeru pendidikan akademik tak harus disisihkan dari mereka.

Buat para ibubapa yang optimis untuk anak mereka pergi jauh di bidang akademik walaupun kurang cemerlang di peringkat peperiksaan persekolahan, kita akan terus mendesak agar satu sistem pembelajaran yang lebih adil diwujudkan di Malaysia ini. Sekiranya mereka yang dipertanggungjawabkan enggan memikirkannya, maka orang itu ‘kita kasi tukar‘. Ingat, kekuasaan itu adalah mutlak milik ALLAH SWT. Dia berhak mewakilkannya kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dialah Yang Maha Berkuasa Atas Segala Sesuatu. Allahu Akbar!

Mengapa Ali, Halimah, Fatimah?!

Bukan main  hebat lagi promosi drama-drama dan filem Melayu sekarang. Tak cukup di televisyen dan akhbar, papan iklan gergasi pun menjadi ‘sasaran’. Hmm, perkembangan sihat agaknya industri filem di Malaysia ni.

Di sini (Malaysia), atau mungkin di mana-mana saja dalam dunia ni, industri ni sama ada drama tv atau filem tak ketinggalan ikut ‘trend‘ semasa. Kalau musim tema cinta, semua penerbit akan menerbitkan cerita cinta sehingga ramai penerbit dan penggiat filem yang dah jadi jutawan dengan filem-filem mereka walaupun ceritanya ‘ntah hapa hapa ntah‘. Bila tiba musim tema seram pulak, semua buat cerita hantu hinggakan ada di kalangan penerbit filem yang dah sinonim dengan cerita-cerita cintapun buat cerita hantu jugak, nak memenuhi kehendak pasaran katanya. Asalkan tak memesongkan akidah masyarakat, lebih-lebih lagi pelakon dan pengarah itu sendiri, kira ok la tu. Janganlah hendaknya ada unsur-unsur penghinaan kepada sesiapa terutama agama Islam yang suci.

Sedari dulu lagi jika diperhatikan, cerita-cerita komedi adalah antara yang paling banyak mengandungi unsur-unsur penghinaan walaupun tidak secara langsung. Sebagai contoh, rasanya ramai yang masih ingat dengan cerita Ali Setan lakonan Azmil Mustafa dan Fauziah Ahmad Daud. Bukan nak kupas jalan cerita, melihatkan tajuknya sahajapun pasti ramai yang rasa terhina. Bagi mereka yang bernama Ali ada kemungkinan mereka akan diejek dengan gelaran setan, bersempena dengan tajuk filem tersebut iaitu nama satu watak yang digabungkan dengan perkara yang jelek, “Ali” dan “Setan”.

Amat malang, nama-nama watak yang digabungkan dengan perkara-perkara yang jelek ini adalah nama-nama yang mulia sebenarnya. Nama-nama yang mempunyai sejarah yang amat gemilang di dalam dunia Islam.

Ali adalah nama seorang sahabat dan ahli keluarga Rasulullah SAW. Halimah pula digabungkan dengan Jongang. Siapa yang tidak kenal individu yang bernama Halimah dalam sejarah Islam? Ibu susuan Rasulullah SAW yang sangat baginda hormati. Terbaru, Fatimah Juling. Fatimah, nama puteri kesayangan Rasulullah SAW dan juga isteri kepada Saiyidina Ali k.w. Mereka adalah nama-nama besar yang amat berjasa di dalam Islam sehingga nikmat iman dan Islam itu dapat kita nikmatinya sehingga kini. Tergamak orang-orang filem dan drama ini menggabungkan nama-nama mereka yang bejasa ini dengan perkara-perkara yang jelek semata-mata untuk berhibur dan mengaut keuntungan dunia. Kalau iye pun nak berhibur, kenapa tidak nama yang digabungkan dengan perkara jelek itu dipilih dari nama-nama lain seperti Joe Setan ke, Elina Jongang atau Melati Juling? Mengapa mesti nama-nama mereka yang dikasihi oleh Allah dan RasulNya?

Lihat sahaja gambar di atas, nama “Suraya” digabungkan dengan “Ayu”; sesuatu yang digambarkan amat indah, serba serbi indah. Manakala di sebelahnya “Fatimah Juling”!? Mungkin pada pandangan sesetengah orang, nama-nama ini lucu, kekampungan dan sebagainya. Dan isu nama ini bukanlah suatu isu yang besar untuk dibicarakan. Mereka mungkin melakukannya tanpa sebarang niat menghina sesiapa, NAMUN hakikatnya telah ramai yang terluka. Lebih bahaya jika perkara ini melukakan perasaan Rasulullah SAW, kekasih Allah SWT.

Mungkin telah tiba masanya satu garis panduan khusus dalam perkara ini ditetapkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Bagi mereka yang terlibat, peluang untuk kembali ke jalan yang lurus masih terbuka. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani.

ESQ Menyeleweng – Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim

BBB, 09 Sya’ban = 21 Julai (Rabu):

Pagi-pagi ini, aku bersama isteri, diikuti saudara Shahrum Abdullah Setiausaha Kerja sebagai juru gambar ke rumah jiran. Ini berikutan jiran berkenaan (Puan Hajjah Zainab) petang kelmarin datang ke rumah membuat aduan tentang pembentungan di rumahnya rosak. Menurutnya, beberapa kali telah dibuat aduan baik kepada Indah Water dan Syabas, tetapi tidak diambil tindakan. Beribu wang telah dibelanjakan membaiki dan berulangkali membuat sedutan. Di atas aduan itulah kami ke rumahnya pagi ini. Setelah membuat pemerhatian dan mengambil gambar dan berjanji perkara ini akan dibawa ke atas dan bila kami mau pulang ke pejabat, suami Puan Hajjah Zainab – Profesor Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim Profesor di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM keluar dari membaca akhbar (dimaklumi oleh isterinya) bagi mengucapkan terima kasih kepada kami. Prof. Abdulfatah Pakar – menyelidik dan sering membicarakan tentang Penyelewengan Akidah & Ajaran Sesat. Pakar Rujuk bagi Jakim dan Jabatan-jabatan Agama Islam yang lain.

Semasa menuruni dari rumahnya dan beliau mengiringi aku ke jalan, dia merapatkan diri kepadaku dan berkata ada dua perkara nak diperkatakan, iaitu, kecoh perpaduan Melayu dan kedua berkenaan ESQ yang kedua-duanya, antaranya dikecohkan oleh Mufti Perak Sahibussamahah Tan Sri Harussani Zakaria. Aku memberi perhatian terhadap persoalan yang disebutkan kepadaku itu – terutama berkenaan ESQ. Soal Perpaduan Melayu aku tak begitu minat, kerana perkara biasa dan telah terlampau banyak diperkatakan. Aku bertanya, “Macam mana pendapat Prof. berhubung dengan ESQ ? Menurutnya dia sedang mengikuti dan terbaru membaca mengenainya dalam sebuah akhbar pagi ini.

Menurutnya dia bersetuju dengan pendapat Sahibussamahah Dato` Wan Zahidi Wan Teh, Mufti Wilayah Persekutuan yang memfatwa dan mengazetkan di dalam Warta Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan diterbitkan dengan kuasa His Majesty`s Government Gazette bertarikh 13 Jun 2010 Jil. 54, No. 12 yang di dalamnya berisi dengan sepuluh ciri penyelewengan ESQ yang menurut Prof. Abdulfatah, boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Menurut Prof. Abdulfatah dia meragui adakah pihak yang membela ESQ seperti Tan Sri Harussani Zakaria Mufti Negeri Perak, Dato’ Nooh Gadut Penasihat Majlis Agama Islam Johor dan Dato’ Hasbullah Abdul Halim Bekas Mufti Kedah dan Dr. Adnan Yusof Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah USIM membaca Warta yang digazetkan. Beliau menarik aku naik semula ke anjung rumahnya dan memaklumkan untuk mengambil draft tulisan yang dihasilkannya berhubung dengan ESQ. Aku menunggu di luar dan beliau membawa satu salinan pendapat yang ditulisnya dan salinan kandungan warta yang digazetkan yang diprint daripada internet. Dia memberi kepadaku satu salinan daripada tulisannya dan meminta aku memperpanjangkan pendapatnya. Aku berjanji untuk membaca dan memahami pokok persoalan terlebih dahulu dan memohon diri. Sebenarnya selama ini aku bukan beri perhatian sangat mengenai ESQ yang telah keluar beberapa kali di dalam beberapa akhbar – sekadar membaca tajuk berita dan memerhati isinya sepintas lalu sahaja.

Pulang dari kunjungan ke rumahnya, setelah memberi arahan kepada Setiausaha Kerjaku untuk mengambil tindakan terhadap aduan pembetungan pecah, aku mulai mencari kembali akhbar-akhbar yang membincangkan tentang ESQ untuk dipadankan dengan tulisan yang diberikan kepadaku. Setelah separuh hari membaca dan memahami persoalan, aku membuat kesimpulan. Apa yang dikatakan ESQ itu bukanlah sesuatu yang complicated sangat. Ia bergerak dari Rangka Pendekatan (approach) sebuah badan motivasi – Badan ini dikenali dengan – ESQ Leadership Centre Institusi Training Sumber Daya Manusia. Pengasas bagi badan yang ditubuhkan sejuk 2006 diketuai Dr. Ary Ginanjar Agustian dari Indonesia yang mendakwa hingga kini sudah mempunyai satu juta alumni ESQ. Institut bertujuan membentuk Karakter Manusia Melalui Pembangunan tiga potensi – Emosional, Spiritual dan Kecerdasan Q (Minda) yang menjadi singkatan sebagai ESQ itu.

Untuk makluman pendekatan ini bukan baru, Kementerian Pelajaran Malaysia di dalam membicarakan tentang Falsafah Pendidikan Di Malaysia di dalam buku mengenai Falsafah Pendidikan Di Malaysia – kami panggil Buku Merah, membicarakan falsafah pendidikan ialah bagi memperkembangkan potensi yang ada pada diri manusia dari segi minda, emosi, spiritual dan fizikal. Kami pernah berbincang bagi memperbaiki Falsafah dan Kurikulum Pendidikan itu di Pusat Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia di Jalan Duta, Kuala Lumpur pada tahun 1980an antaranya bersama Sdr. Rahman Shaari (kini Profesor di Fakulti Pendidikan UM) dan ramai lagi yang dijemput. Falsafah ini juga sering kami bicarakan di dalam merangkakan kurikulum Pelajaran, terutama sastera bagi Tingkatan Enam di Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pendekatan terbaru ialah dibuat oleh bahagian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Selangor yang dikenali dengan SPIES (spiritual, physical, intellectual, sosial dan environment) yang pendekatannya tidak jauh beza.

Masalahnya di dalam pendekatan cuba dimasukkan elemen-elemen keagamaan oleh yang bukan pakar di dalam bidang keagamaan. Dr Ary Ginanjar Agustian bukan dari latar pendidikan agama. Dengan kefahaman agama, falsafah dan pemikiran yang bersimpang siur cuba dimasukkan ke dalam pendekatan dan metodologi ESQ menjadikannya kecamuk dan bercampur dengan elemen agama, fikiran dan falsafah yang kuno dan kini menjadikannya tercemar dari segi keagamaan. Bahkan kefahaman yang mendalam tentang keagamaan boleh jadi tercemar bila diambil pendekatan luar. Misalnya dari segi theology salaf dengan khalaf – Ashari-Maturidi-at-Tahawi banyak menimbulkan tuduhan dari segi kemasukan misalnya ilmu logic Aristotle dari Greek dan sebagainya. Di dalam pendekatan theology mutakhir kita lihat di Indonesia antara tokoh thelogisnya lebih memperlihatkan lebih ketara cenderung kepada pengaruh rasional didukung oleh tokoh-tokoh theology di sana. Contoh pendekatan Theologi oleh A. Hanafi yang ketara lebih cenderung kepada Mu`tazilah dari Ahlussunnah wal Jamaah. Begitu juga dengan Dr Oemar Amin Hossein yang amat mengkagumi dan mencintai filsafat Islam yang ketara dengan pengaruh Greek Yunani.

Dr. Ary Ginanjar Agustian tidak terpisah dengan elemen sedemikian. Bermaksud dia cuba membuat pendekatan berciri Islam, kerana ini barangkali dikehendaki atau hendak disesuaikan dengan khalayak muslim dalam metodologi motivasi ESQ, ternyata kerana dia bukan pakar dalam bidang keislaman, dia juga tertarik misalnya dengan liberalisme, dan pluralisme, maka terjadi kekacauan didalam menyelaraskan akidah, prinsip dan dasar Islam. Di Indonesia disesuaikan dengan keadaan di sana, dinyatakan ESQ adalah penyatuan nilai Nasionalisme (Pancasila), Demokrasi dan Spiritualisme.

Dr. Ary juga cuba mengambil sifat unggul dari tokoh-tokoh terkenal seperti empat sifat utama Rasulullah s.a.w dengan siddiq, amanah, tabligh dan Fatanah dan dengan 4 nilai utama dari Aristotle iaitu berani, bijak adil dan iffah. Beliau menambah tiga lagi sifat unggul bagi pendekatan ESQnya iaitu kerjasama, peduli dan disiplin. Banyak lagi istilah dan pendekatan dalam Islam cuba disesuaikan dengan kekinian yang kadang-kadang mengelirukan.

Kita tidak hairan dengan jawapan terkini yang dijawab oleh Dr. Ary berhubung dengan 10 perkara di dalam pendekatan ESQ yang dianggap menyeleweng. Kerana dalam jawapan boleh diubahsuai dengan keadaan setempat, keperluan semasa dan juga mendepani tekanan-tekanan persoalan yang mau diperbetulkan. Dia mesti mencari jawapan dan dalih yang memperlihatkan kebenaran, sekurang-kurang bagi jawapan semasa yang menuntutnya menjawab sedemikian atau sebagai pelarian?

Satu perkara yang menjadi persoalan bagi kita, tidak adakah pemikir dan pakar motivasi yang mampu merangka pendekatan motivasi berhubung dengan pendidikan Islam, sehingga mengimport pendekatan dari luar yang tidaklah sangat significant dan sebenarnya ramai pakar motivasi dan agama mampu membuat sedemikian.
Mengenai perkara ini secara menyindir Prof Dr. Abdulfatah menyatakan dalam kertas yang diberikan kepada saya:

“Mengenai ESQ, lucu juga pada perasaan saya kerana ESQ ini badan perniagaan, mengaut wang sebanyak mungkin, datang ke Malaysia sudah sekian lama, digunakan mufti-mufti dan Majlis Fatwa untuk mereka dapat perlindungan.” – Prof Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim.

Dalam percakapan lisan saya dengan Prof. Abdul Fatah, kami berpendapat kita tak perlu menyusahkan dengan perkara yang tidak penting ini. Banyak lagi perkara penting yang perlu kita lakukan. Tolak dan hantar pulang saja perkara yang tidak sepatutnya menjadi masalah bagi kita. Jangan menampakkan kelemahan kita. Kita sebenarnya mempunyai pakar, ilmuan dan pemikir yang mampu menyusun metodologi dan pendekatan yang lebih baik dari ESQ itu.

Saya akhiri dengan memetik tulisan Prof. Dr. Abdulfatah:

“Sesiapa membaca Warta Kerajaan SERI PADUKA BAGINDA DITERBITKAN DENGAN KUASA HIS MAJESTY’S GOVERNMENT GAZETTE bertarikh 13 Jun 2010, di dalamnya berisi dengan sepuluh ciri penyelewengan ESQ yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam, terpaksalah dia mengakui hakikat bahawa sepuluh ciri ini membuktikan ESQ ini satu cult murtad terkeluar daripada Islam yang dibawa oleh Muhammad Rasulullah s.a.w.”

Sekian.

Sumber: http://drshafie.blogspot.com/2010/07/esq-menyeleweng-prof-dr-abdulfatah.html

Fokus Jangan ‘Lari’!

Sejak akhir-akhir ni seronok tengok ramai penceramah yang dah berjaya dalam kerjaya terutamanya perniagaan. Penceramah ni biasa la, kemahiran mereka yang paling menonjol apa lagi kalau bukan bercakap dan memberi motivasi. Ceramah dan mengajar di merata tempat. Alhamdulillah, memang itu yang sangat-sangat dituntut dan bukan semua orang ada kemampuan melaksanakan tuntutan tersebut termasuk mereka yang ada ilmu sekalipun. Teman amat bangga dengan situasi tersebut.

Cuma apa yang menyedihkan teman ialah ada segelintir dari mereka mengalami situasi ‘fokus lari’. Maksudnya, tujuan asal mereka tubuhkan syarikat consultant tersebut adalah untuk memudahkan mereka berdakwah dengan cara yang lebih professional. Itu fokus mereka, BERDAKWAH. Tapi setelah hari demi hari, bulan demi bulan bila khidmat mereka semakin diperlukan, bila nama dah semakin ‘meletup’ dan perniagaan semakin maju, mereka mula hilang tumpuan atau ‘lari’ fokus. Mereka mula ‘demand’ dan letak harga yang tinggi. Sahabat teman di utara tanahair sendiri yang mengalami peristiwa ni.

Ceritanya begini, sahabat teman ni bekerja di salah sebuah jabatan kerajaan di utara, nak buat la satu program ceramah di peringkat jabatan. Lalu mereka besetuju untuk jemput penceramah daripada satu consultant. Pada teman itu sangat bagus. Bukan senang nak masuk berdakwah dalam jabatan kerajaan. Kalau takde ‘kabel’ atau orang dalam memang payah. Sepatutnya dimanfaatkan peluang tersebut. Macam kita tengok ustaz-ustaz kita berdakwah dalam TV. Kalau dah syarat tak boleh pakai kopiah putih walaupun syarat tu tak rasmi, mereka tak pakai kopiah putih. Semua tu atas alasan berdakwah dalam TV tu lebih utama dan wajib berbanding mempertahankan kopiah putih. Malangnya setelah dihubungi oleh sahabat teman, consultant ni minta bayaran yang agak tinggi iaitu di luar kemampuan mereka yang mempunyai bajet yang agak terhad untuk program berkenaan. Terus mereka batalkan hasrat untuk menjemput consultant tu.

Mungkin di pihak consultant mereka punya alasan tersendiri buat macam tu, tapi tanggapan masyarakat terhadap mereka serta-merta berubah 180 darjah. Lebih memburukkan keadaan jika imej yang terjejas tu dikaitkan dengan gerakan Islam atau agama Islam itu sendiri, na’uzubillah.

Tahniah sangat-sangat kepada para penceramah dan ahli-ahli motivasi yang masih mampu untuk terus maju dengan fokus mereka. Semoga terus maju dalam berdakwah dan bisnes. Bisnes-bisnes juga, fokus jangan ‘lari’!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.