Begitu Rupanya, Baru Aku Faham Kenapa Bubuk Tak Pernah Pupus Dalam Bekas Berasku…

Setiap kali nak masak nasi mesti kena cari dan buang bubuk dulu. Boleh tahan juga bubuk kat dalam bekas beras tu. Aku terfikir untuk buang semua bubuk-bubuk tu kemudian masukkan balik beras yang dah bersih dari bubuk ke dalam bekasnya.

Beberapa malam lepas aku asingkan beras yang dah tinggal sikit tu dalam talam. Aku buang bubuk sebanyak mungkin yang aku mampu. Lalu aku biarkan beras yang dah bersih tu beberapa ketika. Lebih dari sehari sebelum aku masukkan balik dalam bekas beras. Tiba-tiba sekejap tadi aku dapati bubuk kembali banyak dalam beras yang dah bersihkan tu. Aku jadi hairan, dari mana datangnya bubuk-bubuk ni sedangkan aku dah bersihkan beras tu? Aku segera membelek-belek beras-beras tadi.

Tiba-tiba aku terlihat beberapa butir beras seperti ada sesuatu di dalamnya. Baru aku tahu, rupa-rupanya bubuk bertelur dan membiak di dalam beras! Patut la walaupun beras dah bersih tapi tak lama lepas tu ada balik bubuk. Aku terus panggil anak lelaki aku, “jom tolong ayah cari beras yang di dalamnya ada lembaga..”.

Banyak juga yang kami dapat. Sehingga beras dalam dulang tu betul-betul bersih dari bubuk, barulah aku masukkan balik beras tu dalam bekasnya.

Maha Besar Allah SWT yang menjadikan segala sesuatu. Butir beras bagaikan telur bagi bubuk, terkupas beras umpama kulit telur bila bubuk nak keluar..

Kuning Telur Berkembar, Diketahui Setelah Berada Di Dalam Kuali

Rutin aku setiap tengah hari selepas pemergian bonda tercinta pada Ogos tahun lalu ialah balik rumah dan masak (biasanya telur goreng atau nasi goreng jee..) atau panaskan apa saja lauk yang isteriku dah siap masak pada paginya. Aku lakukan semua itu dengan istiqamah setiap hari kerana anak bujangku balik dari sekolah pada waktu tersebut sebelum menyambung kelasnya di sekolah agama pula pada sebelah petangnya.

Tugas tersebut telah menjadi satu kewajipan bagiku dan aku laksanakannya tanpa ada apa-apa yang istimewa atau kelainan sehinggalah tengah hari tadi. Ketika memasak masakan kegemaranku (telur goreng), telur yang pertama biasa je, selesai siap ‘telur mata’ tu aku pecahkan telur yang kedua. Aku teruja bila mendapati kuning telur yang kedua tu ada dua.. Segera aku mencapai kamera dan rakamkannya sebelum rupanya berubah akibat kuali yang panas.

Harap Maaf, Jangan Betulkan Komputer Anda.. Visual Kuali Kurang Memuaskan!

Mungkin bagi sesetengah orang yang dah biasa berkecimpung dalam bidang telur ni perkara tersebut adalah biasa tapi bagi aku ia adalah sesuatu yang amat mengujakan. Sayang ianya hanya diketahui setelah berada dalam kuali yang panas.. 🙂

Kebesaran Allah Subhaanahu Wa Ta’ala boleh dilihat di mana-mana sahaja bagi yang mahu berfikir.

Selesai digoreng, telur tersebut selamat dimakan oleh adikku sebagai hidangan lauk tengah hari kami, alhamdulillah.